Adjust font size:

Warga emas giat senam berbakti jadi relawan (Berita Minggu, 28 Jan 2018)

 

Diterbitkan: 28 Jan 2018, The Straits Times, halaman 5

Warga emas giat senam berbakti jadi relawan

Pada mulanya, Cik Saemah Daifi, 61 tahun, menyertai kelas senaman hanya kerana mahu mengisi masa terluang.

Namun, lama-kelamaan, nenek 11 cucu itu seronok dapat bersenam bersama rakan.

Kini, beliau menyertai tiga kelas - senaman aerobik pada Selasa, zumba pada Rabu dan qigong pada Jumaat.

Malah, beliau menyumbang masa sebagai relawan acara Share A Pot, projek kemasyarakatan yang bertujuan mengurangkan, melambatkan atau mencegah kelemahan jasmani, mental dan sosial warga emas.

Senaman dan kerja relawan itu dilakukan di pusat kesejahteraan dan jagaan Wellness Kampung@260 di Yishun Street 22.

"Memang penting bagi warga emas kekal aktif supaya kita tak rasa bosan. Kita boleh jumpa rakan dan lakukan kegiatan bersama.

"Dengan itu, minda kita sentiasa bergerak dan badan pun sihat," katanya.

Program Share A Pot, yang dimulakan Yishun Health pada September 2014, menggabungkan ilmu pemakanan baik dan kegiatan jasmani dalam sekitaran sosial untuk "menguatkan tulang, otot, dan otak serta jalinan hubungan (pendekatan sosial)" warga emas.

Menurut Cik Saemah, hidangan sup sihat akan disajikan kepada golongan warga emas setiap Jumaat di Wellness Kampung@260.

Selain itu, beliau bersenam bersama mereka.

"Setiap Jumaat, mereka akan masak sup. Sebagai relawan, saya akan tolong sajikan sup kepada warga emas. Ada juga bawa kuih, buah-buahan dan kek.

"Kami juga akan mengajak mereka senam bersama-sama. Bagi yang berkerusi roda, kami akan bantu tolak mereka ke tempat melakukan senaman.

"Senaman penting kerana dapat menyihatkan badan," katanya, yang sudah berkhidmat sebagai relawan sejak lebih setahun lalu.

Berdasarkan pengalaman peribadinya, Cik Saemah berkata tahap kesihatannya bertambah baik setelah mula giat bersenam secara kerap.

Jika dulu sendi terasa sakit akibat reumatisme, kini beliau tiada lagi masalah.

"Sekarang apabila dah bersenam, alhamdulilah tak ada rasa sakit lagi. Lutut pun dah ok.

"Dulu, saya nak duduk dan bangun pun susah. Tapi sejak ikut program senaman, tubuh saya sihat semuanya," katanya.

Cik Saemah berkata amat penting bagi warga emas mengekalkan gaya hidup aktif supaya mereka kekal sihat dalam semua aspek kehidupan, baik jasmani, mental mahupun emosi.

"Selain mengamalkan gaya hidup sihat, hubungan rapat dengan keluarga penting. Kalau kita sihat tapi tak dekat dengan keluarga, pun susah.

"Kita perlu menjalani pemeriksaan kesihatan supaya tahu sama ada kita ada penyakit ataupun tidak. Pemakanan perlu dijaga," katanya.


Source: Berita Minggu © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.

Download the news clip »