Adjust font size:

RP lancar dispensari pengajaran baru (Berita Harian, 9/01/2015)

 

Politeknik Republic (RP) telah melancarkan dispensari pengajaran baru dengan kerjasama Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), semalam.

Kerjasama antara institusi pendidikan dan kesihatan sangat penting dalam melatih pelajar menjadi pekerja yang cekap, kata Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Pengangkutan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, di majlis pelancarannya.

Menurutnya, kerjasama seperti itu membolehkan pelajar memanfaatkan pengalaman pembelajaran holistik, bagi memudahkan peralihan daripada sekolah ke latihan klinikal di hospital.

Beliau menyifatkan usaha itu penting memandangkan lebih ramai tenaga kerja bagi khidmat kesihatan diperlukan kerana penduduk semakin tua.

Pelbagai prasarana kesihatan bakal dilancarkan pada tahun ini.

Keupayaan fizikal mesti berkembang sejajar dengan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan, kata beliau.

Dispensari itu merupakan yang pertama di politeknik setempat. Ia menyerupai farmasi hospital, supaya pelajar dalam bidang Sains Farmasi boleh mendapat latihan amali.

Seorang lulusan diploma RP dalam bidang Sains Farmasi pada 2010, Cik Mariem Anwar, 27 tahun, berkata dengan dispensari pengajaran RP, para pelajar akan lebih yakin menjalankan tugas.

"Mereka akan terdedah pada pelbagai proses penting dalam kerja harian - satu kemahiran yang tidak dapat dipelajari di dalam kelas sahaja," ujar juruteknik farmasi di KTPH itu.


Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.